Dato' Bahaman Dan Kaitannya Dengan Tok Guru Peramu

Dato' Bahaman Dan Kaitannya Dengan Tok Guru Peramu


Buku Dato' Bahaman Sejarah Perjuangan Dan Adakah Dia Tok Guru Peramu merupakan buku yang mengisahkan perjalanan Dato' Bahaman bermula di Semantan sehingga berhijrah ke bumi Siam. Dato' Bahaman terlibat dalam beberapa perang besar seperti Perang Saudara Pahang (1836–1857), Perang Kelang (1867–1874) dan Perang Sematan (1892-1895).

Perang Semantan merupakan perang besar yang dipimpin oleh beliau sebagai reaksi kepada campur tangan Inggeris di Pahang. Pada asalnya, penentangan hanya berlaku di Semantan sahaja, kemudian ia merebak ke seluruh Pahang. Di Pekan misalnya, Panglima Muda Jempol berjaya membuat kucar kacir pihak Inggeris di sana. Di bahagian Ulu Pahang pula pahlawan Mat Kilau anak Tok Gajah turut melakukan serangan bersama angkatan perangnya dari Budu.

Pertempuran demi pertempuran berlaku menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa berundur ke Terengganu. Di Terengganu, Tok Ku Paloh telah menaikkan semangat mereka untuk kembali melakukan perang sabil melawan Inggeris. Maka tercetuslah pertempuran yang digelar sebagai Perang Jeram Ampai pada tahun 1894.

Bagaimanapun, pahlawan-pahlawan Melayu terpaksa berundur kembali ke Kelantan dan Terengganu kerana pihak Inggeris telah menyediakan pasukan perang yang besar. Lebih mengecewakan, sebahagian dari mereka adalah orang-orang Melayu yang berpihak kepada Inggeris.

Buku Dato' Bahaman Sejarah Perjuangan Dan Adakah Dia Tok Guru Peramu juga cuba membongkar rahsia tentang seorang lelaki tua yang tiba-tiba mendapat perhatian selepas pahlawan Mat Kilau mengisytiharkan diri. Lelaki tua itu digelar Tok Guru Peramu. Siapakah sebenarnya Tok Guru Peramu dan apa kaitannya dengan Mat Kilau dan Dato' Bahaman?.